Pernah juga menjadi vokalis kumpulan Crossfire dan Garuda, Isa terlebih dahulu menganggotai Handy Black sebelum munculnya seorang lagi vokalis, Zul Suphian yang mengambil alih tempatnya yang ditinggalkan pada 1989.

Single Natrah yang diinspirasikan daripada kejadian rusuhan Natrah di Singapura pada 50an menjadi lagu berhantu Handy Black, ditambah lagi suara Isa yang dikatakan sangat ‘kena’ dengan jiwa pemberontakan yang diceritakan menerusi lirik lagu berkenaan.

Walaupun diharamkan penyiarannya di negara ini disebabkan menyentuh sensitiviti agama dan kaum, akan tetapi kehebatan suara Isa tidak mampu dinafikan peminat muzik rock tempatan untuk menjadikan lagu tersebut hit dan disukai ramai.

Setelah meninggalkan Handy Black dan menganggotai seketika dua kumpulan lain selepas itu, Isa mengambil keputusan mengundur diri dari lapangan seni sementelah melihat masalah cetak rompak semakin meruncing melanda industri muzik tanah air.

“Agak lama saya menyepi. Dalam waktu itu, saya bekerja di sebuah syarikat perabot antarabangsa sebagai salah seorang pereka perabot di situ. Walaupun sudah tidak menyanyi, saya akui tatkala tempoh waktu tersebut, jiwa saya meronta-ronta untuk kembali aktif menyanyi.

“Bagaimanapun, saya akur, untuk meneruskan hidup, saya perlukan pekerjaan tetap yang memberi pendapatan tanpa putus. Sebab itu saya membuat keputusan untuk bekerja dalam bidang yang mahir.

“Alhamdulillah, pelbagai pengalaman yang ditimba dan diperoleh. Bekerja dengan syarikat antarabangsa memberi peluang kepada saya untuk terus menambah ilmu,” katanya yang hadir ke Utusan Malaysia bagi mengisi ruangan Orang Lama minggu ini. 

Agak lama menjadi ‘tukang perabot’ di syarikat berkenaan, berkat kesabaran, Isa sedikit demi sedikit mengumpul modal berserta bantuan kewangan daripada isteri tercinta yang dikahwini pada 2012 iaitu Zadariah Noh, 44, mereka membuka syarikat perabot sendiri iaitu Zai’s Furniture yang terletak di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang.

Menurut Isa, perniagaan yang dimulakan secara kecil-kecilan itu akhirnya semakin berkembang maju. Dibantu oleh dua orang pekerja termasuk Ayie Leon yang banyak membantunya, Zai’s Furniture menerima tempahan bukan saja dari dalam negara, bahkan dari negara luar.

Berdasarkan komen orang ramai, faktor yang menyebabkan pelanggan kedai perabotnya bertambah adalah disebabkan kehalusan seni tangan Isa ekoran pengalaman yang diperoleh sekian lama.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan-Nya untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Rezeki ini bertambah lebat sementelah lahirnya anak sulung saya dan Zadariah iaitu Ammar Farhan Isa yang baru memasuki usia sembilan bulan.

“Kelahiran Ammar Farhan benar-benar membuka lembaran baharu buat saya setelah rumah tangga pertama gagal pada 2008. Bagaimanapun, setiap yang berlaku ada hikmahnya dan saya reda. Perkahwinan terdahulu saya dikurniakan empat orang anak gadis yang sudah meningkat dewasa,” cerita Isa menyentuh sisi peribadinya.

Berbicara tentang dunia nyanyian, Isa baru sahaja menjayakan sebuah konsert di Bekok, Segamat anjuran Exco Pelancongan negeri sempena penganjuran sebuah festival di sana bersama Ayie Leon awal bulan ini. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

 

By Ifqdar Rahman

19th June 2015, Hiburan, Utusan Malaysia